KUALA LUMPUR – Lebih lapan juta atau kira-kira 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini menikmati perlindungan bil elektrik yang diperluaskan sehingga penggunaan 800 kilowatt/jam (kWj) sebulan sekali gus membolehkan penjimatan sehingga RM47.25 atau 13 peratus sebulan.
Peluasan tahap perlindungan daripada 600 kWj kepada 800 kWj itu bermula bulan ini dan memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna tambahan.
Sebagai contoh, pengguna yang menggunakan 800 kWj sebulan sebelum ini dikenakan bil sebanyak RM375.85 namun dengan peluasan perlindungan berkenaan, jumlah bil bagi penggunaan sama turun kepada RM328.60 iaitu penjimatan RM47.25.
Pengguna yang menggunakan sehingga 800 kWj sebulan juga dikecualikan daripada tiga komponen iaitu Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan RM10 sebulan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata, langkah itu dijangka membantu lebih ramai pengguna mengawal bil elektrik selain mengurangkan beban ketika penggunaan tenaga meningkat.
“Dengan peningkatan ambang perlindungan kepada 800 kWh, pengguna kini tidak lagi perlu membayar tiga komponen itu sekali gus membolehkan bil berkurang sekitar RM47 sebulan atau 13 peratus berdasarkan contoh pengiraan TNB,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.
Menurut beliau, kira-kira 85 peratus pengguna domestik menggunakan elektrik di bawah 600 kWj sebulan pada awal tahun dan berada dalam zon perlindungan sebelum jumlah itu menurun kepada sekitar 80 peratus apabila sebahagian pengguna meningkatkan penggunaan melepasi paras berkenaan.
Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik ialah suhu harian yang lebih tinggi, bekerja dari rumah dan musim perayaan.
“Suhu lebih tinggi juga boleh meningkatkan penggunaan elektrik penghawa dingin kerana sistem berkenaan perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan suhu yang ditetapkan,” katanya.
Bagi penggunaan antara 801 kWj hingga 1,000 kWj sebulan, tiga komponen berkenaan tidak lagi dikecualikan manakala insentif kecekapan tenaga turut berkurangan.
Pengguna yang mencatat penggunaan melebihi 1,000 kWj sebulan pula perlu membayar kadar sebenar tanpa pengecualian dan tidak lagi menikmati insentif kecekapan tenaga.
Shamsul berkata, kumpulan pengguna yang menggunakan lebih 1,000 kWj sebulan adalah kecil, dianggarkan hanya sekitar satu peratus daripada keseluruhan pengguna domestik.
Dalam pada itu TNB komited menyerap kos AFA walaupun jumlahnya melebihi anggaran RM150 juta sekiranya harga arang batu meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.
Katanya, RM150 juta ketika ini merupakan anggaran berdasarkan senario terburuk termasuk mengambil kira kemungkinan harga arang batu meningkat melebihi paras yang diunjurkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, TNB akan memenuhi komitmen yang dibuat sekiranya kos sebenar melebihi anggaran berkenaan.
“Kita kena serap. Kita sudah membuat komitmen dan akan memenuhi komitmen itu,” ujarnya.
Beliau berkata, TNB bersama kerajaan dan dengan bantuan Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menyerap kesan AFA bagi tempoh September hingga Disember bagi mengurangkan impaknya kepada pengguna. – MalaysiaGazette
















