KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli dan kepimpinan UMNO serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki atas sokongan, keprihatinan dan solidariti diberikan kepada beliau.
Menerusi hantaran di Facebook, pentadbir media sosialnya berkata, bekas Presiden UMNO itu turut berterima kasih kepada orang ramai yang bertanya untuk membantu beliau untuk menjelaskan denda sebanyak RM50 juta.
Katanya, mereka kini boleh membuat sumbangan kepada Tabung Solidariti Najib Razak melalui saluran rasmi yang diselia oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia:
Nama Akaun: PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO)
Bank: CIMB ISLAMIC
No. Akaun: 8604886094
“Segala sumbangan adalah secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing.
“Terima kasih kepada semua yang terus bersama DS Najib dan keluarganya dalam waktu ini. Setiap doa, kata-kata semangat dan sokongan amat dihargai,” kata hantaran tersebut, hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini telah membuat keputusan terhadap permohonan pengampunan Najib.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib termasuk membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Najib dapat pengampunan bersyarat: Tahanan rumah, bayar denda RM50 juta
















