KUALA LUMPUR – Hanya dalam tempoh tiga jam pertama, Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpul sebanyak RM634,562.02 selepas dilancarkan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan denda RM50 juta.

Perkara itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya.

“MasyaAllah, tiga jam pertama sejak Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan sudah mencecah RM634,562.02. Ramai yang menyumbang serendah RM10 dan RM50,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, ujarnya, insiatif itu dilaksanakan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti keluarga UMNO serta rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada Najib yang banyak berjasa kepada negara.

“Susulan perkembangan terkini, Ibu Pejabat UMNO memulakan langkah melaksanakan inisiatif Presiden melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak.

“Kepimpinan, ahli UMNO serta seluruh masyarakat dijemput untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi berikut.

“Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun di bawah yang diseliakan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), nombor akaun 8604886094, CIMB Islamic,” jelasnya.

Sebelum itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan, boleh berbuat demikian dengan menyumbang secara sukarela.

Kata beliau, ia akan dilaksanakan menerusi satu inisiatif secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Pengampunan bersyarat itu diperkenankan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Ke-64 di Istana Negara, semalam.

Najib hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Lembaga Pengampunan sebelum ini mengurangkan hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan ke atas beliau kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta pada Februari 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here