KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) terhadap gabungan itu merupakan natijah agenda berniat jahat (mala fide) serta tekanan politik daripada pihak tertentu dari dalam dan luar PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan itu dibuat selepas gabungan berkenaan menerima notis di bawah subseksyen 13(2), Akta Pertubuhan 1966 yang memberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi berhubung cadangan pembatalan pendaftaran PN.
Menurutnya, cadangan pembatalan itu berkait dengan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung mesyuarat PN pada 16 Julai 2026.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, PN turut menerima perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Katanya, notis dan perintah berkenaan diterima secara berturut-turut pada 22 dan 23 September lalu, iaitu ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“PN mengambil maklum keputusan RoS di atas, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didokong oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin menyeru ahli dan penyokong PN supaya bertenang dan memberi ruang kepada kepimpinan menguruskan perkara berkenaan, selain memberi jaminan perkembangan serta dokumen berkaitan akan dimaklumkan kepada masyarakat secara telus.
PN turut mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuat kuasa serta-merta terhadap mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan bagi pihak gabungan itu, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.
Semalam, media melaporkan gabungan itu berkemungkinan dibatal pendaftaran apabila gabungan itu menerima notis daripada RoS.
Notis itu bertujuan agar PN memberikan penjelasan mengapa gabungan parti itu tidak patut dibatalkan dalam tempoh 30 hari. – MalaysiaGazette
















