SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani hari ini didakwa atas tiga pertuduhan menerima manfaat bernilai kira-kira RM302,499.27 bagi kerja pengubahsuaian tiga rumah, kira-kira sembilan tahun lalu.
Bagaimana tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini.
Mengikut pertuduhan, OKT menerima untuk diri suatu benda berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian tiga rumah beralamat di No.31, Jalan Polo Air 13/58B, Seksyen 13, Shah Alam; No.5, Jalan Sepah Puteri 5/30B, Kota Damansara, Petaling Jaya dan No.33, Jalan USJ Heights 2/2A, USJ 2, Subang Jaya pada 7 Mac 2017.
Pemberian itu diterima tertuduh daripada seorang pengarah syarikat swasta tempatan yang mempunyai kena mengena dalam urusan yang dijalankan OKT.
Pertuduhan terhadap bekas COO TH itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan merupakan antara perkembangan siasatan terhadap dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan pengurusan TH dan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin, selain memohon tertuduh diwajibkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam prosiding jaminan, peguam tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.
Peguam memaklumkan tertuduh sudah bersara daripada TH sejak 2025 dan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja, manakala empat anaknya yang berusia 25, 20,15 dan 12 tahun dengan dua masih menuntut di universiti dan dua lagi masih bersekaolah.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh menghidap penyakit jantung, selain pernah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos lalu akibat komplikasi berkaitan jantung.
Kemudian Hakim Awang Kerisnada membenarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim turut mengenakan syarat tambahan lain iaitu tertuduh tidak boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















