Preakas Sampunathan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjelaskan keperluan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun untuk membuat pengisytiharan harta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S. Preakas.

Preakas yang juga pengamal undang-undang berkata, beliau menyokong sepenuhnya tanggungjawab SPRM menjalankan siasatan rasuah dan mengesan aset yang disyaki diperoleh daripada kegiatan menyalahi undang-undang.

Katanya, jika terdapat syak munasabah aset diletakkan atas nama ahli keluarga termasuk kanak-kanak, SPRM berhak menyiasat pemilikan, sumber dana dan pihak yang mengawal aset berkenaan.

“Namun, terdapat perbezaan antara menyiasat aset yang didaftarkan atas nama kanak-kanak dengan menghendaki kanak-kanak berusia 12 tahun sendiri menjelaskan transaksi kewangan yang dilakukan oleh orang dewasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut pemimpin DAP itu, Seksyen 36 Akta SPRM 2009 memberikan kuasa luas kepada SPRM mendapatkan maklumat berkaitan harta daripada individu yang disiasat dan dalam keadaan tertentu, saudara atau sekutunya.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan kuasa di sisi undang-undang tidak bermakna persoalan mengenai keperluan, kewajaran dan perlindungan boleh diketepikan apabila kuasa itu dilaksanakan terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak berusia 12 tahun tidak boleh dianggap sama seperti orang dewasa apabila diminta menjelaskan perkara berkaitan pemilikan benefisial, sumber dana, pemerolehan harta dan transaksi kewangan yang kompleks,” ujarnya.

Preakas berkata, jika aset didaftarkan atas nama kanak-kanak, SPRM boleh menyiasat aset itu dengan meneliti siapa yang membayarnya, siapa yang mengatur transaksi, siapa yang mengawal aset dan siapa pemilik benefisial sebenar.

“Jika orang dewasa menggunakan nama kanak-kanak untuk menyembunyikan harta yang diperoleh secara tidak sah, siasat dan ambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Tetapi mengapa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun perlu menanggung beban menjelaskan transaksi yang mungkin sepenuhnya diatur dan dikawal oleh orang dewasa?,” soalnya.

Sehubungan itu, Preakas meminta SPRM menjelaskan asas undang-undang dan keperluan khusus untuk menghendaki kanak-kanak berusia 12 tahun itu sendiri membuat pengisytiharan harta.

Beliau turut mempersoalkan maklumat sebenar yang diperlukan daripada kanak-kanak berkenaan dan sama ada maklumat itu berada dalam pengetahuan peribadinya.

“Bolehkah maklumat sama diperoleh secara munasabah daripada ibu bapa atau penjaga, bank, institusi kewangan, rekod syarikat, rekod tanah atau pihak lain yang terbabit dalam pemerolehan aset?

“Apakah perlindungan yang disediakan bagi menjaga kepentingan dan hak kanak-kanak sepanjang proses ini?,” katanya lagi.

Preakas berkata, persoalan itu wajar dibangkitkan berhubung pelaksanaan kuasa penyiasatan yang luas oleh sebuah institusi awam, khususnya apabila ia membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Katanya, usaha membanteras rasuah perlu tegas dan tidak berkompromi, namun pada masa sama mesti berlandaskan kedaulatan undang-undang, kewajaran dan keadilan.

“SPRM perlu menyiasat aset, menjejaki aliran wang dan menyiasat orang dewasa yang bertanggungjawab.

“Namun apabila proses siasatan melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun, pihak berkuasa perlu melaksanakan kuasa dengan penelitian dan perlindungan yang sewajarnya terhadap kanak-kanak,” katanya.

Kenyataan Preakas itu dibuat susulan tindakan SPRM menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada bekas Menteri, Datuk Seri M Saravanan, isterinya dan tiga orang anak mereka, termasuk seorang yang baru berusia 12 tahun. – MalaysiaGazette

SPRM serah notis kepada Saravanan, isteri dan tiga anak Isnin ini

Adakah wajar kanak-kanak 12 tahun diminta hadir ke pejabat SPRM?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here