KUALA LUMPUR – Status terhadap laporan terhadap UiTM Holdings masih menjadi tanda tanya apabila tiada laporan siasatan yang jelas dan menyeluruh didedahkan kepada umum.
Presiden PUTRA, Datuk Ibrahim Ali mendakwa, laporan mengenainya sudah dibuatnya sejak 2023 lagi.
Ibrahim atau dikenali Tok Him merupakan Mantan Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA (KSITM) dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mengarahkan supaya kelemahan pengurusan UiTM Holdings diteliti pada 26 September lalu ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama Alumni UiTM.
“Sebagai mantan Presiden KSITM bagi sesi 1972–1974 dan mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, saya menggesa PMX agar tidak sekadar mengarahkan semakan terhadap kelemahan pengurusan UiTM Holdings. Sebaliknya, PMX perlu mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dgn tegas, menyeluruh terhadap segala kepincangan, kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah laku yang dipercayai telah menyebabkan UiTM Holdings mengalami kerugian ratusan juta ringgit, malah mungkin mencecah lebih RM1 bilion sebenarnya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tok Him, beliau sendiri telah membuat dua laporan kepada SPRM berhubung isu ini.
Laporan pertama dibuat pada 31 Januari 2023 dan laporan kedua pula dibuat pada 4 Disember 2023.
Salinan laporan tersebut juga telah dihantar kepada Pejabat PMX di Putrajaya pada 5 Disember 2023 untuk perhatian dan tindakan lanjut tetapi tiada jawapan.
“Namun begitu, sehingga kini, status siasatan terhadap laporan tersebut masih menjadi tanda tanya apabila tiada laporan siasatan yang jelas dan menyeluruh didedahkan kepada umum.
“Keadaan ini berlaku ketika Tan Sri Azam Baki masih menyandang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Lebih membimbangkan, laporan berkenaan seolah-olah disenyapkan atas alasan yang tidak munasabah. Hasil siasatan penuh belum didedahkan, namun kesimpulan seakan-akan telah dibuat, bahawa tiada asas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Menurut Tok Him, mantan Naib Canselor UiTM dan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah pernah membuat kenyataan terbuka mengenai dakwaan penyelewengan dalam UiTM Holdings dan UiTM yang dianggarkan telah menyebabkan kerugian melebihi RM1 bilion.
“Beliau juga pernah memberikan keterangan kepada pihak-pihak berkaitan. Justeru, kenyataan dan keterangan beliau wajar diberikan perhatian serta dijadikan sebahagian daripada siasatan yang menyeluruh, telus dan berintegriti,” katanya.
Beliau juga kesal kerana SPRM mengambil masa sampai tiga tahun untuk menyiasat perkara itu.
“Sebelum ini pihak SPRM pernah menjawab kepada saya melalui aplikasi WhatsApp bahawa tidak ada siasatan lanjut oleh kerana tidak cukup bukti,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















