KUALA LUMPUR – Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat telah mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih US$700 juta yang diperoleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu kenyataan, DoJ berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.
Dengan muktamadnya penyelesaian itu, bersekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih US$1 bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut ini merupakan pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemerolehan Aset Kleptokrasi jabatan berkenaan dan pelucutan hak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh DoJ.
“Perjanjian penyelesaian ini mengakibatkan Low dan keluarganya terpaksa melepaskan beratus-ratus juta dolar yang diperoleh secara haram, yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia,” Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Keadilan itu dipetik sebagai berkata.
— BERNAMA















