solat jemaah
Foto hiasan

KUALA KUBU BHARU- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau akan diperkemaskan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Berkongsi mengenai perkembangan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi, katanya, SOP baharu di masjid atau surau setakat ini tidak dibincangkan.

“Tidak dibincangkan (mengenai SOP baharu di masjid dan surau), sekadar kita akan memperkemaskan SOP dan kepatuhannya,” katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ sesi 2020 serta majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim di sini hari ini.

Mesyuarat khas MKN itu turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta menteri-menteri berkaitan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu COVID-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast