Home Utama NUFAM pelik mengapa pihak berkuasa tutup mata isu Eaglexpress

NUFAM pelik mengapa pihak berkuasa tutup mata isu Eaglexpress

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa tindakan syarikat penerbangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. (Eaglexpress) masih menempatkan kakitangan yang tamat visa di negara luar sebagai berisiko dan melanggar undang-undang dasar kerajaan dan syarat imigresen.

Dalam kenyataannya, NUFAM mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa yang terlibat mengawas selia industri penerbangan negara boleh menutup mata dalam isu ini sedangkan perkara ini telah dilaporkan kepada beberapa agensi.

“Apakah mereka sedar tentang syarikat penerbangan ini, risiko anak kapal?

“Eaglexpress telah mencetuskan banyak aduan daripada anak-anak kapal yang sedang berpusat di Arab Saudi. Kami diberitahu syarikat itu mahu anak-anak kapal tinggal di sana meskipun visa telah tamat.

“Adakah arahan pengurusan itu betul? Dan, mengapa ia dibenarkan berlaku?,” kata kesatuan itu.

Sehubungan itu, NUFAM mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Eaglexpress kerana tindakan yang dilakukan tidak boleh diterima dan membahayakan anak-anak kapal, selain melanggar undang-undang buruh.

Soalnya, bagaimana jika pihak berkuasa menangkap anak-anak kapal yang tidak memiliki dokumen sah.

“Syarikat penerbangan ini telah menyebabkan kumpulan terkandas baru-baru ini dan kini mahu meletakkan beban ke atas anak kapal. Ini sama sekali tidak adil,” katanya.

NUFAM turut menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat penerbangan itu, jika tidak lebih banyak masalah akan timbul.

Ini kerana, katanya, syarikat penerbangan itu juga tidak menjelaskan gaji serta elaun kakitangan dan setiap kali didesak supaya membayar tunggakan, banyak alasan diberikan.

Dalam kenyataan itu, NUFAM juga mahu syarikat-syarikat penerbangan berhenti melanggar undang-undang dan jangan sesekali meletakkan kakitangan dalam risiko.

Katanya, syarikat-syarikat penerbangan sebenarnya memalukan organisasi sendiri apabila kes-kes yang dilaporkan tidak ditangani. – MalaysiaGazette