Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim (tengah) dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari (kanan) bersama sebahagian ahli dan penyokong PAS menunjukan memorandum bantahan yang diserahkan kepada pengurusan akhbar Nanyang Siang Pau pada Demontrasi & Serahan Memorandum Bantahan Kebiadapan Akhbar Nanyang Siang Pau dihadapan pejabat urusan akhbar tersebut di Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 11 APRIL 2017

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri didesak Dewan Pemuda Pas Pusat (DPMM)  supaya menggantung lesen akhbar bahasa Cina, Nanyang Siang Pau kerana secara terbuka menghina agama Islam selepas kontroversi penyiaran karikatur 8 April lalu.

Gesaan itu dibuat oleh Naib Ketua DPMM, Khairil Nizam Khirudin yang menggesa tindakan perlu diambil bagi memberikan pengajaran supaya perkara sedemikian tidak berulang lagi.

“Jika benar ia melanggar undang-undang negara maka wajar dikenakan hukuman yang setimpal seumpama menarik balik lesen penerbitan akhbar agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

“Dalam masa yang sama siasatan juga amat wajar bagi pihak KDN menggantung penerbitan akhbar Nanyang Siang Pau agar dapat dielakkan perkara tersebut berulang yang mana ia boleh menimbulkan kemarahan umat Islam di dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengetuai bantahan yang diadakan di hadapan pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya hari ini.

Beliau turut membidas tindakan akhbar tersebut yang memanipulasi isu berhubung perundangan Islam sehingga tidak menghormati sensitiviti dengan membuat tindakan sedemikian.

“DPPM sekali lagi ingin menjelaskan bahawa belum pernah terjadi dalam sejarah perundangan negara, orang bukan Islam di bicarakan, di adili malah di jatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syariah.

“Namun sikap Nanyang Siang Pau jelas ingin memanipulasi keadaan dengan menggambarkan sebaliknya dan menerbitkan karikatur sebegitu. Jelas Nanyang Siang Pau tidak menghormati Agama Islam, undang-undang Islam dan masyarakat Islam di dalam negara,” katanya.

Jika dibiarkan, Khairil Nizam bimbang ia akan merosakkan kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam Malaysia.

“Jika dibiarkan sikap biadap dan keadaan sebegini berterusan, ianya akan merosakkan institusi masyarakat berbilang kaum di dalam negara yang selama ini aman dan cukup harmoni di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Nanyang Sia Pau semalam memohon maaf ekoran penyiaran kartun monyet pakai serban yang disiarkan akhbar berkenaan pada 8 April lalu.

Menurut satu kenyataan, syarikat itu memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette