Ab Rauf Yusoh bercakap pada sidang media s

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Ulangtahun UMNO ke-71 yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini akan menjadi satu indikator kepada sokongan rakyat kepada UMNO dan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, dengan jangkaan 140,000 ahli UMNO yang akan hadir pada himpunan berkenaan, beliau yakin himpunan tersebut bakal menunjukkan kesepaduan terbesar di kalangan ahli UMNO.

“Ini adalah indikator sebagai menyokong parti dan kepimpinan yang akan diterjemahkan kepada hari tersebut.

“Sesungguhnya tiada perhimpunan seramai itu sebelum ini, tetapi saya yakin hari tersebut akan menunjukkan satu perpaduan ahli UMNO menyokong pucuk pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan ditunjukkan dalam kebersamaan satu perjuangan untuk menghadapi pada PRU14 akan datang.

“Semangatnya akan diterjemahkan pada 11 Mei untuk menunjukkan ahli UMNO bersatu teguh,” kata Ab Rauf.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Hari Ulangtahun UMNO ke-71 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Ab Rauf, UMNO mencatatkan jumlah ahli baru tertinggi apabila seramai 3,000 golongan belia didaftarkan pada dua minggu lalu dimana pada kebiasaannya hanya 100 hingga 200 ahli sahaja berdaftar pada hari biasa.

“Setakat ini seramai 3.5 juta ahli UMNO terdiri daripada 1.3 juta Wanita, Pemuda (600,000), Puteri 380,000 dan selebihnya adalah ahli UMNO biasa.

“Tiga juta daripada ahli UMNO tersebut telah mendaftar sebagai daftar pemilih,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sambutan tersebut, Ab Rauf berkata, UMNO menawarkan wang tunai berjumlah RM1juta kepada rakyat Malaysia dan semua ahli yang berdaftar untuk menyertai program yang disediakan sempena Hari UMNO ke 71.

Himpunan Sambutan Hari Ulangtahun UMNO tersebut akan bermula jam 10 pagi dengan pelbagai acara dirancang bermula 1 Mei depan.

Antaranya, pertandingan menulis esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, video pendek berdurasi tiga minit dan cabutan bertuah.

“Kita sediakan 10 buah motosikal dan tujuh buah kepada kereta kepada ahli UMNO yang berdaftar sebelum 8 Mei ini dan mereka perlu hadir di Stadium Bukit Jalil untuk layak menerima hadiah berkenaan.

Pertandingan esei dan video boleh disertai semua kaum 30 tahun ke bawah dan dihantar kepada email, [email protected],” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast