Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak bersetuju dengan cadangan pihak-pihak tertentu yang mahu semua sekolah tahfiz persendirian ditutup susulan kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang dipercayai dipukul di sebuah madrasah di Johor.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan itu berkata, adalah lebih baik jika sekolah-sekolah tahfiz didaftarkan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagaimana saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tak bolehlah, kalau kita lihat dalam negara kita ini sebenarnya ada tiga sahaja jenis sekolah (aliran agama).

“Kita ada sekolah pondok, sekolah agama dan sekolah mubaligh. Daripada sebelum merdeka sekolah pondok inilah yang ada, kemudian datang sekolah Mandarin untuk orang Cina.

“Kalau kerana insiden itu berlaku kita nak tutup sekolah tahfiz, itu tidak sesuai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz persendirian susulan insiden yang berlaku ke atas Mohamad Thaqif.

Menerusi blognya Zainuddin berkata, tindakan itu lebih berkesan daripada kenyataan simpati dan takziah oleh pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri.

Jelasnya, apa yang menimpa Thaqif sepatutnya dijadikan kesempatan oleh kerajaan untuk bertindak dengan `pantas dan tegas’ dalam menilai semula kewujudan sekolah agama dan tahfiz sama ada persendirian mahupun yang menerima bantuan kerajaan.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) bagi membincangkan mengenai pendaftaran sekolah-sekolah agama tahfiz swatsa dan persendirian di seluruh negara.

Katanya, langkah itu perlu diambil selepas beliau menyedari terdapat kejadian sama seperti kes yang berlaku terhadap Mohamad Thaqif di sebuah sekolah tahfiz di Klang, Selangor baru-baru ini. – MalaysiaGazette