KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad akan menyambung tugasnya bermula 16 Oktober ini.
Syarikat perladangan kelapa sawit terbesar di negara ini dalam kenyataannya di Bursa Malaysia berkata, keputusan tersebut terpaksa mengambil masa yang sedikit panjang kerana hasil siasatan dalaman (DI) perlu dihantar ke Kementerian Kewangan Diperbadankan untuk diberi pernilaian.
“Selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti program transformasi FGV dan komitmen Presiden dan CEO kumpulan serta jaminan untuk menyelesaikan isu hutang Safitex Trading LLC., Kementerian Kewangan Diperbadankan mahu Datuk Zakaria kembali meneruskan tugasnya,” katanya.
Zakaria bersama tiga lagi pegawai kanan FGV diarahkan bercuti tanpa tarikh akhir sejak 6 Jun lalu bagi membolehkan satu DI dijalankan ke atas dakwaan yang membabitkan kegagalan Safitex membayar hutang kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.
Tiga lagi pegawai kanan FGV yang lain bagaimanapun telah mula menyambung tugas masing-masing hari ini.
Sementara itu, Pengerusi baharu FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, sebuah struktur pengurusan baharu akan diumumkan bagi mengukuhkan organisasi tersebut.
Ini membolehkan mereka memberikan fokus yang lebih baik kepada pelan strategik FGV.
Komposisi ahli lembaga pengarah juga akan ditambah baik dengan pelantikan Pakar Dalam Bidang Berkaitan.
Perkara ini akan diumumkan oleh lembaga pengarah tidak lama lagi.-MalaysiaGazette
Comments are closed.