PULAU PINANG – Kes pembantu rumah yang maut didera majikannya di Kota Permai 2, Bukit Mertajam di sini kelmarin hanya membabitkan tiga suspek iaitu seorang wanita berusia 60 tahun serta dua anaknya.
Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan kesemua mereka termasuk dua beradik berkenaan masing-masing lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun.
Menurut beliau, pihaknya ketika ini juga sedang menunggu laporan penuh pakar perubatan bagi menentukan tempoh mangsa didera oleh keluarga suspek sebelum diselamatkan.
“Maklumat ini mungkin kita tidak akan dapat daripada suspek kerana mereka mungkin tidak mengaku atau jawapan yang diberikan mungkin tidak tepat.
“Jadi, kita tunggu keputusan dan pengesahan daripada pakar perubatan untuk mendapatkan maklumat sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kelmarin, seorang pembantu warga Indonesia, Adelina Lisio, 26, disahkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam akibat kehilangan banyak darah selepas diselamatkan dari rumah majikannya sehari sebelumnya.
Adelina diselamatkan polis selepas orang awam melihatnya dalam keadaan lemah serta penuh kecederaan pada bahagian badan dan dibiarkan di bahagian luar sebuah rumah di Kota Permai 2, Bukit Mertajam.
Ketika diselamatkan, terdapat kesan lebam pada bahagian kepala dan mukanya manakala bahagian lengan dan kedua-dua belah kakinya pula bernanah dipercayai terkena air panas.
Dalam pada itu, polis turut mendapat perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 60 tahun yang dipercayai majikan Adelina bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini itu diperoleh daripada Mahkamah Bukit Mertajam di sini pagi ini.