Debat Syed Saddiq dan Razali dibatalkan.
Debat Syed Saddiq dan Razali dibatalkan.

MUAR – Polis meminta debat antara calon pembangkang bagi kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyandang Datuk Seri Razali Ibrahim yang dijadualkan malam ini dibatalkan kerana tiada permit.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata program debat itu tidak mendapat kebenaran polis kerana tiada sebarang permit dipohon oleh pihak penganjur.

“Surat daripada penganjur iaitu Pakatan Harapan (PH) kami terima pagi ini hanya memaklumkan mengenai program tersebut.”

“Oleh kerana masa yang sangat singkat dan mengambil kira keadaan ketenteraman awam sekarang, ia tidak sesuai dan kita tidak akan benarkan program (debat) ini diadakan,” katanya kepada pemberita pada program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pagoh dekat sini hari ini.

Katanya penganjur sepatutnya memohon permit 10 hari lebih awal kepada ketua polis daerah untuk dipertimbangkan.

“Bila program debat, kita kena faham calon mungkin boleh kawal emosi, tetapi bagaimana dengan penyokong. Kami juga perlu persediaan seperti kawalan lalu lintas, kesesuaian lokasi dan sebagainya,” kata beliau.

Sehubungan itu Mohd Khalil meminta sama ada penganjur mahupun penyokong agar tidak hadir di lokasi yang diuar-uar sebagai venue debat berkenaan.

Sekiranya diteruskan, mereka yang terlibat melakukan kesalahan menurut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, katanya.

“Kita galakkan calon berkempen (tapi) gunalah saluran undang-undang yang ditetapkan,” kata Mohd Khalil.

Semalam, Syed Saddiq dilapor mengesahkan pelawaan debat antaranya dan Razali yang dibuat pada Isnin lalu diteruskan dan dijadualkan berlangsung hari ini di Hotel Traders Muar pada 8 malam.- BERNAMA