Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Jawatan Ketua Polis Negara yang kini dipegang oleh Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dijangka digantikan dengan muka baharu.

Manakala tiga jabatan dalam organisasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditutup, menurut laporan Straits Times yang memetik sumber sebagai berkata.

Rombakan itu disifatkan sebagai ‘pembersihan’ organisasi oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

“Ya, akan berlaku gegaran kuat 8.5 skala Richter dalam pasukan polis pada Julai ini,” kata sumber akhbar itu sambil memberitahu, individu pertama yang akan ditukar adalah ‘No 1’ yang merujuk kepada Ketua Polis Negara.

Mohamad Fuzi dilantik sebagai Ketua Polis Negara sejak sembilan bulan lalu bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun, sumber tidak menjelaskan mengapa Mohamad Fuzi terlibat dalam rombakan itu.

Tiga jabatan yang dijangka dimansuhkan ialah Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Bercakap mengenai penutupan tiga jabatan itu, seorang sumber berkata, masalah besar ialah penglibatan dalam kalangan polis dalam rasuah dan melindungi penjenayah yang sepatutnya ditahan.

“Itulah salah satu sebab utama STAGG, STAFOC dan STING akan dimansuhkan. Terlalu banyak daripada mereka yang diamanahkan untuk menghapuskan gerakan bawah tanah tetapi sebaliknya polis bertindak melindungi kumpulan tersebut, ” kata sumber lain.

Dalam kaji selidik Transparency International dalam kalangan rakyat Malaysia tahun lalu, pasukan polis dinilai sebagai institusi paling korup di negara ini.

Jabatan Perisikan Polis Malaysia, Cawangan Khas, telah mengemukakan kepada kerajaan tiga nama calon berpotensi untuk memimpin PDRM.

alt MGF13032018_SIDANG MEDIA PROGRAM ENGAGEMENT BERSAMA NGO02 (1)
Noor Rashid Ibrahim

Salah seorang daripada mereka adalah Timbalan Ketua Polis Noor Rashid Ibrahim, menurut sumber yang petik oleh Straits Times.

Noor Rashid pernah menerajui beberapa jawatan penting sepanjang 31 tahun dalam PDRM, termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah.

Nama lain yang disebut-sebut ialah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. – MalaysiaGazette