KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan tidak wajar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggikan suara apabila berdepan masalah dengan rakyat.
Katanya, lebih tidak manis kalau penduduk kampung itu orang yang lebih berumur.
“Pada pandangan saya sebagai seorang rakyat biasa, walau apapun pertikaiannya, dan tidak kiralah siapa yang betul dan siapa yang salah, lebih manis jika ia tidak melibatkan suara yang tinggi, lebih-lebih lagi terhadap orang yang lebih berumur.
“Saya meminta maaf jika semasa saya menjadi wakil rakyat dahulu, saya pernah berkelakuan yang dilihat sombong dan menekan rakyat biasa.
“Ia juga ingatan kepada saya supaya banyak bersabar dalam urusan seharian dan mengelakkan meninggikan suara dengan sesiapa pun,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada kejadian ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Norhizam Hassan Baktee yang bertegang urat dengan beberapa penduduk kampung.
Perkara itu terjadi apabila Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri dikatakan cuba mempertahankan keputusannya menutup sebatang jalan di sebuah taman yang sering digunakan oleh penduduk kampung bersebelahan.
Mengulas lanjut Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau menonton dan meneliti video itu yang mulanya disiarkan oleh mantan ADUN DAP bagi Kota Alam Shah, M. Manoharan malam semalam.
Katanya, M. Manoharan memaklumkan rakaman video itu melibatkan pergaduhan antara ADUN DAP Pengkalan Batu yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka.
“Saya tidak tahu asal usul pergaduhan ini dan apa latar belakang pertikaian yang menyebabkan seorang wakil rakyat berkelakuan begitu kepada seorang warga emas.
“Bagi pihak Pakatan Harapan (PH), walau apapun penjelasan yang telah dan akan diberikan, saya memohon maaf atas insiden meninggikan suara ini,” katanya. – MalaysiaGazette