Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Hukuman mati terhadap pesalah bukanlah satu langkah pencegahan terbaik.

Malah, keberkesanan mengenai perkara itu tidak dapat dipastikan memandangkan banyak faktor yang boleh mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh I-Cells (organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara) , terdapat risiko sabitan salah menyebabkan hukuman mati dilaksanakan terhadap individu yang tidak bersalah.

“Di Malaysia, terdapat kes di mana orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu yang diberikan oleh saksi utama.

“Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu tersebut, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Vui Keong berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berhasrat mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa, seharusnya menerima hasrat untuk memansuhkan hukuman mati secara keseluruhan. – MalaysiaGazette