Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen. foto: FAREEZ FADZIL 18 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Reformasi dan akauntabiliti menjadi tunggak pentadbiran kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu.

Pada dasarnya, peralihan politik yang berlaku mencerminkan harapan rakyat ke arah ketelusan, akauntabiliti fiskal dan reformasi sosioekonomi yang lebih meluas.

Perdana Menteri berkata, reformasi ini perlu sekiranya Malaysia berhasrat untuk pulih, membangun semula dan muncul kembali sebagai sebuah negara yang bangga dengan pencapaian dan kemampuan untuk bersaing pada peringkat yang paling tinggi.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia pernah digelar sebagai Harimau Asia dan untuk bangkit semula, kerajaan perlu menjajar semula tumpuan dan menyesuaikan semula strategi.

Sehubungan itu, langkah reformasi ini termasuk menambah baik tadbir urus, mempercepat inovasi, melonjak produktiviti dan meningkatkan
industri dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

Di samping itu, usaha ini juga meliputi langkah mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mencapai pertumbuhan inklusif.

“Oleh itu, reformasi berani yang menyahut kehendak rakyat adalah penting untuk mencapai visi menjadi negara maju dan inklusif,” katanya dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

Menurut beliau, kajian Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dengan keutamaan dan penekanan baharu bertujuan untuk mereformasi dasar sedia ada dan menggariskan sasaran sosioekonomi yang disemak semula bagi tempoh 2018-2020.

Kajian Separuh Penggal ini telah mengambilkira aspirasi kerajaan baharu, cabaran ekonomi dan trend global semasa.

Usaha akan ditumpu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di samping memastikan manfaat yang lebih besar kepada semua lapisan masyarakat.

Dalam hubungan ini, prinsip tadbir urus yang baik, institusi yang mantap serta integriti dan akauntabiliti yang lebih tinggi akan diperkukuh untuk meliputi seluruh pentadbiran kerajaan baharu bagi mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Malaysia Baharu perlu mempamerkan kekuatan, keyakinan dan harapan. Dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, negara ini akan maju ke hadapan dengan langkah yang yakin dan berani.

“Menyedari kejayaan yang telah dicapai pada masa lalu, kita pasti akan lebih cemerlang pada masa hadapan. Dengan ini, kita mampu membina sebuah negara yang makmur, harmoni dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast