Catatan serta luahan hati tunang kepada Muhammad Adib yang kini terlantar di SJMC gara-gara dipukul ketika bertugas di kuil Sri Maha Mariamman awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Tunang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat yang cedera parah dalam kejadian rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman, meminta masyarakat agar menghentikan spekulasi mengenai keadaan tunangnya itu.

Nurul Najihah dalam catatan menerusi laman Facebooknya hari ini berkata tunangnya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan selamat dan meminta orang ramai mendoakan kesihatannya.

“Tunang saya masih selamat. Tolong la hentikan (spekulasi) yang bukan-bukan. Doakan dia,” tulisnya.

Catatan berkenaan mendapat lebih 800 perkongsian daripada orang ramai dan rata-rata netizen mendoakan agar mangsa segera pulih.

Dalam catatan sebelumnya, Nurul Najihah turut memuat naik status “Kamu kuat. Cepat bangun kamu. @Muhammad Adib. Doakan tunang saya…tak kuat tengok kamu macam tu,” luahnya.

Dalam kejadian awal pagi tadi, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata Muhammad Adib yang belum sedarkan diri kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Menurut Zuraida, mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang rusuk.

Muhammad Adib yang berasal dari Kedah bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan.

— BERNAMA