KUALA KEDAH – Dari Institut Jantung Negara hinggalah ke Airod Subang, lensa kamera yang menyorot sosok tubuh Mohd Kassim Abdul Hamid, menunjukkan riak wajahnya yang sayu tetapi tenang.
Malah paparan foto-foto yang dikongsi di laman sosial cukup untuk menggambarkan betapa kuatnya lelaki ini menghadapi perjalanan terakhir anaknya Muhammad Adib selepas tiga minggu bertarung nyawa.
Namun, ternyata penderitaan perasaan yang disimpan untuk beberapa ketika terlerai sebaik beliau tiba di kampung halaman, dalam erti kata lain perjalanan Muhammad Adib semakin hampir ke destinasi.
MalaysiaGazette yang membuat liputan ketibaan jenazah Muhammad Adib tidak dapat menahan perasaan apabila melihat air mata Mohd Kassim bercucuran sebaik rakan-rakan setugas Muhammad Adib memeluk erat tubuhnya.
Ternyata kata-kata semangat dari mereka mencairkan hati bapa Allahyarham itu dan tanpa dipinta air mata yang dibendung mengalir laju.
Dalam mencari kekuatan, beliau membalas pelukan sambil bersuara: “Tak apa, tak apa.”
Hanya itu kata-kata yang mampu meluncur dari mulut Mohd Kassim, manakala rakan-rakan Muhammad Adib terus menenangkan beliau.
“Dia kini tenang ‘di tempatnya’, berada dalam jagaan Allah kembali kepada Sang Pencipta.
“Kuat ya pak cik,” kata salah seorang rakan setugas Allahyarham.
Jenazah Muhammad Adib tiba di Sekolah Kebangsangan (SK) Tebengau lebih kurang 10:29 pagi tadi kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Tebengau tempat Allahyarham dibesarkan. – MalaysiaGazette