Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik beramah mesra dengan murid-murid sekolah tahun satu pada sesi pertama persekolahan bagi sesi 2019 di Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1) Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2019.

PUTRAJAYA – Penentuan kadar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan hak dan kuasa autonomi persatuan itu sendiri, kata Dr. Maszlee Malik.

Menteri Pendidikan itu berkata, pihaknya mengharapkan penentuan kadar kutipan yuran PIBG dapat dibincangkan sesama mereka agar tidak membebankan ibu bapa di negara ini.

“Yuran PIBG adalah hak mereka (PIBG). Jadi kita harapkan PIBG supaya dapat berbincang sesama mereka agar (kadar) tidak membebankan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.

“Kita juga mahukan supaya mereka mengadakan persefahaman di antara ibu bapa dan PIBG,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), Putrajaya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada yuran PIBG sekolah masih tidak diwajibkan dan sebarang cadangan penyelarasan semula yuran disebabkan kutipan yuran di sesetengah sekolah masih tinggi kadarnya.

Beliau bersama pegawai kanannya meninjau sesi persekolahan 2019 yang bermula hari ini bagi beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan..

Kali ini, katanya seramai 465,411 murid didaftarkan untuk tahun satu sekolah rendah di seluruh negara daripada kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah menengah dan rendah.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan sentiasa menggalakkan penglibatan PIBG dalam segala program sekolah untuk meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti di sekolah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dasar pendaftaran pelajar berkeperluan khas atau murid warganegara Malaysia yang tidak memiliki dokumen bermula hari ini.

“Saya gembira kerana sambutannya begitu menggalakkan dan terdapat peningkatan pelajar dua kategori itu masuk sekolah.

“Harapan kerajaan cuma satu sahaja iaitu memastikan tidak ada mana mana anak Malaysia yang tercicir daripada mendapatkan hak pendidikan di negara kelahiran sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette