KUALA LUMPUR – Portal berita FMT hari ini memetik sumber yang memberitahu bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis ini.
Menurut portal berkenaan, pertemuan tersebut adalah atas titah Sultan Ibrahim sendiri, bagaimanapun sumber berkenaan enggan mendedahkan agenda pertemuan tersebut.
Sejak kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir dibentuk pada 10 Mei lalu, perdana menteri belum lagi mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor.
Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pengganti kepada Sultan Muhammad V bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong akan diketahui 24 Januari ini susulan peletakan jawatan baginda kelmarin.
Dalam tempoh kekosongan takhta itu, Timbalan YDPA, Sultan Nazrin Shah akan memangku jawatan berkenaan sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baru selesai.
Peletakan jawatan Sultan Muhammad V adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Sultan Muhammad V menjalankan tanggungjawab jawatan itu mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019. – MalaysiaGazette