Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Isu kelayakan palsu nampaknya menjangkiti anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan. Selepas kecoh dengan universiti Cambridge yang melanda Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, nama-nama lain turut terpalit.

Menteri Besar Johor, Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu turut didakwa tidak memiliki ijazah sebagaimana yang tertera di profil masing-masing semasa dilantik ke jawatan.

Yang terbaharu nama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin disebut-sebut warganet sebagai tidak bercakap benar tentang pencapaian pendidikan masing-masing.

Mohamad berkata beliau memang pernah menuntut di Institut Teknologi Mara bagaimanapun telah dibuang dari pusat pengajian itu.

Bercakap kepada FMT, Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, mungkin kerana kepandaiannya memasak menyebabkan beliau disangka memiliki ijazah dalam bidang kulinari.

Zuraida pula menarik perhatian bahawa profilnya yang menyebut bahawa beliau graduan National University of Singapore (NUS) sebagaimana disiarkan oleh Bernama sebelum ini adalah tidak benar.

“Saya tidak pernah menyatakan atau mendakwa diri sebagai graduan NUS dan juga tidak pernah memberi kebenaran mana-mana individu untuk berbuat begitu bagi pihak saya.

“Saya juga tidak betanggungjawab kepada apa-apa kemasukan maklumat yang tidak benar dalam Wikipedia yang mendakwa (demikian),” katanya dalam kenyataan.

Infografik itu dikongsi ramai pengguna media sosial.

zuraida
Infografik profil Zuraida Kamaruddin yang diterbitkan Bernama.

Zuraida yang juga naib presiden PKR bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa Bernama tidak pernah mengesahkan maklumat itu dengannya.

Laman Wikipedia versi bahasa Inggeris Zuraida menunjukkani butiran yang mendakwa Zuraida “graduan sains sosial di salah satu institusi pengajian tinggi Singapura” dimasukkan oleh seorang pengguna anonymous pada 14 Januari ini.

Laman itu kemudian disunting lagi semalam oleh pengguna bernama “pejuang Umno” yang menyebut Zuraida sebagai graduan Universiti Harvard.

Zuraida membidas suntingan itu sebagai kerja gila.

Sebelum ini antara nama yang juga terpalit dengan isu kelayakan palsu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, Paul Yong Choo Kiong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast