Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan keluar selepas selesai menghadiri sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Langkah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi membolehkan kerajaan mendengar pandangan serta perspektif luar daripada kabinet.

Malah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri boleh mendengar pandangan semua pihak walaupun anggota-anggota kabinet terdiri daripada ‘orang-orang hebat’.

“Adalah penting untuk kita mendengar banyak pihak. Kita boleh buat ini sejak awal lagi tetapi kita sangat sibuk.

“Sekarang, kita rasa cukup masa untuk tubuh majlis ini dalam usaha mendapat maklum balas tentang apa yang berlaku di dalam negara dan mendapat idea dari mereka tentang cara menyelesaikan masalah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mahathir, ketidakpekaan kerajaan dan beliau terhadap perkara itu boleh menyebabkan berlakunya kecenderungan untuk melakukan kesilapan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Medianya, Datuk A. Kadir Jasin apabila mendakwa tindakan Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi mempunyai maksud yang tersurat dan tersirat.

Menurut Kadir dalam tulisannya itu, penubuhan majlis berkenan secara langsung mengakui jentera yang sedia ada khususnya menteri kabinet tidak memadai menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Mengulas lanjut, Mahathir menjelaskan, ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri keempat, langkah menubuhkan majlis yang hampir sama sudah dibuat namun ia tidak ditubuh secara terus ketika di awal pentadbirannya.

Katanya, ia agak lewat ditubuhkan dan kabinet ketika itu memberi kerjasama penuh hingga menjadikannya sebagai satu majlis yang berjaya dalam membangunkan negara.

Tambah beliau, majlis berkenaan menumpukan kepada hal-hal ekonomi kerana kerajaan ketika ini dibelenggu oleh tindakan kerajaan terdahulu.

“Kita dibelenggu dengan usaha untuk menyelesaikan pinjaman-pinjaman yang banyak jadi kita tidak dapat melihat masalah-masalah melibatkan pelabur-pelabur dan sebagainya.

“Jadi fokus kita untuk majlis ini adalah berhubung pembangunan ekonomi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Majlis Tindakan Ekonomi vs Prestasi Menteri – A Kadir Jasin