Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) diminta tampil untuk membuat penjelasan berhubung kesahihan tentang ijazah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang didakwa merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi awam itu.

Ia berikutan tindakan Osman yang memilih untuk membisu berhubung isu berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hanya dengan penjelasan daripada UPM akan menamatkan dan menentu sahkan isu penipuan sijil dan kelayakan akademik yang terpalit dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan.

“Perkara yang paling dikesalkan dalam episod berlarutan penipuan sijil dan kelayakan akademik pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan hari ini adalah dalihan demi dalihan yang dikeluarkan oleh mereka yang dituduh.

“Justeru, bagi menjelaskan dan mematikan isu ini, pihak-pihak yang diheret dan terpalit mesti tampil dan memberi penjelasan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Khaled turut melahir rasa kesal yang mendalam dengan tindakan berdiam diri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik

Sewajarnya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan memegang portfolio berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi, beliau mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu ini.

“Beliau mesti menjadi suara yang mampu menjaga integriti dunia kesarjanaan.

“Tidak ada orang yang lebih layak dan berautoriti melainkan beliau dalam memberi penjelasan berhubung perkara ini,” tambah Khaled yang menyifatkan isu berkenaan sangat memalukan jika kepimpinan negara ini dipenuhi dengan mereka yang tidak mempunyai integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri.

Malah mereka disokong dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin-pemimpin PH.

Kelayakan akademik Osman dipertikaikan orang ramai selepas profail Osman yang disiarkan di laman Facebook miliknya mendakwa beliau adalah graduan Manila College, Filipina; Diploma Perakaunan dari UPM dan Ijazah Perakaunan dari UPM.

Sedangkan, UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti tersebut.

UPM pula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985 manakala tidak menawarkan Diploma Perakaunan. – MalaysiaGazette