Rayuan pemohon haji untuk tahun ini masih belum dimuktamadkan.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Tabung Haji digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar baharu subsidi haji terutamanya kepada mereka yang merayu kali pertama menunaikan haji mengikut pakej muasasah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau dimaklumkan menerusi dasar baharu itu, golongan tersebut tetap dikenakan bayaran penuh tanpa subsidi berjumlah RM22,900.

“Hakikatnya Dasar baharu itu begitu membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan kewajipan rukun Islam ke-5,” katanya dalam kenyataan di sini.

peraturan baru th

Peraturan baharu yang disifatkan sebagai membebankan golongan yang mahu menunaikan ibadah haji.Menurut Asyraf, dasar tersebut berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN)  dahulu yang menyarankan Tabung Haji tetap memberikan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka dengan hanya membayar RM9,980 seorang (subsidi RM12,920).

“Adalah tidak wajar dikenakan caj penuh kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan sedangkan kebanyakan mereka bukanlah dari kalangan orang yang berada,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, berdasarkan pengalamannya, sekitar 20 hingga 25 peratus kekosongan setiap tahun daripada jumlah kuota yang ditetapkan.

Ini, katanya, berikutan kematian, keuzuran dan pelbagai faktor lain yang menyebabkan jemaah yang sepatutnya dijadualkan mengerjakan haji pada tahun tersebut menarik diri. Kekosongan inilah yang biasanya diisi oleh mereka yang merayu.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

Jika mengikut dasar lama Tabung Haji, keutamaan pertimbangan rayuan akan diberikan kepada mereka yang perlukan mahram, mengiringi ibu atau bapa yang uzur dan mereka yang mencecah umur melebihi 60-70 tahun.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar dan tidak munasabah jika menteri dan pihak pengurusan baru Tabung Haji mengenakan caj penuh kepada mereka yang hakikatnya kali pertama menunaikan haji dan rata-rata bukanlah dari kalangan orang yang senang dan mewah.

“Pemuda UMNO menggesa agar YB Menteri dan pihak Pengurusan Tabung Haji untuk mempertimbangkan kembali dasar baru ini kerana hakikatnya begitu membebankan dan menyusahkan rakyat yang ingin menunaikan kewajipan rukun Islam kelima,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast