Fadzrul Danel memiliki klausa penebusan kontrak bernilai RM3 juta.

KUALA LUMPUR – Peminat Kedah kini boleh mengubati kesedihan selepas kehilangan Akhyar Rashid musim ini kerana muncul lagi seorang pemain muda yang sedang meningkat naik.

Nama Fadzrul Danel mula meniti di bibir peminat bola sepak Helang Merah gara-gara telah menjaringkan gol pertama dalam Liga Super menentang Felda United pada Sabtu lalu..

Kehadiran pemain berusia 21 tahun jelas memberi impak besar kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kerana telah membarisi kesebelasan utama pada tiga perlawanan musim ini.

Fadzrul atau nama sebenarnya, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam bermain sebagai pemain tengah dengan memiliki ketinggian 1.75 sentimeter.

Dia kini mula permulaan karier yang indah bersama negeri kelahirannya itu biarpun baru dinaikkan ke skuad utama.

Fadzrul Danel turut berpeluang beraksi bersama skuad B-23 tahun negara sejak akhir-akhir ini apabila menjadi pilihan jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Selepas kehilangan Syafiq Ahmad dan Akhyar, Kedah pada awal musim ini telah menawarkan kontrak tiga tahun kepadanya dan dia turut mempunyai klausa penebusan bernilai RM 3 juta.

Kedah kini di puncak liga menerusi perbezaan gol yang lebih dan berkongsi 7 mata bersama-sama Pahang, JDT serta Melaka United. – MalaysiaGazette