KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad konsisten dengan pendapatnya berhubung saiz penjawat awam di negara ini perlu dikurangkan.
Menurutnya, jumlahnya begitu besar untuk tanggungan kerajaan ketika ini.
Sambil mengimbau jumlah penjawat awam ketika beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri ke-4 pada tahun 2003 , Mahathir berkata, ketika itu jumlahnya sekitar 1 juta orang sahaja jika hendak dibandingkan sebanyak 1.7 juta sekarang.
Jelas beliau, angka tersebut telah membesar dan meningkat dalam tempoh tersebut sehingga pertambahan jumlah penjawat awam sekitar 700,000 orang.
“Saiz pentadbiran kita terlalu besar, kerajaan sudah menanggung kumpulan off budget. Sebenarnya, kita dapatkan kurangkan dengan hanya menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya pada masa ini.
“Saya berpendapat, saiz penjawat awam sangat besar dan ianya perlu dikurangkan,” katanya dalam sesi soal jawab bersama-sama warga Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Sebelum itu, seorang anggota Tentera Laut Darat Malaysia (TLDM) bertanya pandangan Mahathir tentang cadangan pengecilan penjawat awam pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Mahathir pada masa yang sama berpendapat seandainya penjawat awam kehilangan kerja selepas dikurangkan jumlah, berkemungkinan besar masalah pengangguran serta masalah sosial pula akan melanda.
“Oleh yang demikian, kita terlebih dahulu perlu membangunkan negara dalam bidang pembuatan sebelum membolehkan golongan ini berpindah ke sektor swasta daripada kerajaan.
“Ini juga sekaligus akan meningkatkan keupayaan mereka selain menjana pendapatan tinggi jika hendak dibandingkan dengan sekadar menjawat jawatan pegawai kerajaan yang biasa.
Pada September tahun lepas, Menteri Undang-Undang, Datuk Liew Vui Keong mendedahkan dalam Dewan Rakyat kerajaan akan menamatkan kontrak lebih satu pertiga daripada 17,942 kakitangan kerajaan yang diambil bekerja berdasarkan kontrak.
Seramai 3,242 daripada kakitangan kontrak ini akan diberhentikan kerana projek atau tugas mereka telah selesai atau ditamatkan, manakala 2,934 pekerja lagi akan ditamatkan perkhidmatan apabila kontrak mereka berakhir.
Sementara itu, terdapat 11,394 kakitangan yang akan dikekalkan, 85 akan ditukar ke jabatan lain dan 277 lagi sedang dipertimbangkan. –MalaysiaGazette