KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan saranan supaya Malaysia Airlines (MAS) ditutup atau dijual sahaja sebagai perkara yang sangat serius.
Beliau berkata, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan beberapa pilihan sama ada syarikat penerbangan negara itu perlu ditutup, dijual atau dibiayai semula kerana syarikat penerbangan menyebabkan negara menanggung beban hutang.
“Saya rasa perkara ini merupakan sesuatu yang sangat serius dan kita perlu membuat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Selain itu tindakan melupuskan aset-asetnya atau membiayai semula hutang turut dikaji.
Katanya, semua terpulang kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.
Isu penjualan syarikat penerbangan itu diusulkan selepas Khazanah Nasional Berhad buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.896 bilion tahun sebelumnya.
Kerugian terbesar Khazanah disebabkan pelaburannya dalam Malaysia Airlines Berhad yang gagal memperbaiki prestasi syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata satu mesyuarat lembaga pengarah telah diadakan melibatkan pengurusan Khazanah dan MAS yang turut dihadiri oleh Dr Mahathir.
“Tun telah memberikan pandangannya tentang bagaimana kita patut menguruskan situasi tersebut.
“Saya rasa mereka melihat perkara ini dengan serius dan akan menemui jalan penyelesaian,” katanya merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir tentang MAS di lobi Parlimen hari ini.
Jelas Azmin, ada langkah yang telah diambil bagi menjana keuntungan seperti mendapatkan perkhidmatan carter untuk urusan umrah dan haji.
“Salah satunya, mereka baru mendapat carter perkhidmatan baru dari Kuala Lumpur ke Madinah di bawah Projek Salam untuk membawa umat Islam dari Malaysia dan kawasan rantau ini untuk mengerjakan haji dan umrah.
“Harapnya juga, kita dapat meneroka pasaran baru dari Indonesia dan Thailand,” katanya lagi. -MalaysiaGazette