SHAH ALAM – Saksi ke-26 inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Kassim menyifatkan kecederaan tujuh tulang rusuk kiri pada belakang anggota bomba itu unik.
Kecederaan itu pertama kali dilihat Ketua Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai pakar forensik.
Menurutnya, corak kecederaan itu sangat lurus dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
“Selama saya berkhidmat ini kali pertama saya melihat kecederaan sangat lurus dan tegak kepatahan rusuk tulang kiri belakang,” katanya kepada Mahkamah Koroner di sini hari ini.
Mohd. Shah terdahulu berkata, kecederaan yang dihadapi oleh Muhammad Adib mungkin berlaku akibat jatuh selepas keluar daripada van EMRS yang mengundur sebelum pintu kenderaan itu menghentak tulang rusuk belakangnya.
Kejadian itu tambahnya berkemungkinan berlaku sebelum van EMRS berpusing selepas didorong oleh jentera FRT secara mengundur.
“Berdasarkan patah tujuh tulang rusuk yang lurus menegak dan khusus kebarangkalian yang paling mungkin dihentam bucu pintu maknanya dia telah turun dari kenderaan selepas saat 26 dan sebelum van bomba terpusing sehingga saat ke-39 dalam video yang ditayangkan. Dalam lingkungan 13 saat.
“Kalau mengambil kira jurang tempoh 13 saat untuk adanya pihak ketiga bersama ketika itu pada pandangan saya sukar sebab yang menarik perlu berlari bersama ikut rentak pergerakan van sambil berlari perlu membuka pintu, menarik keluar dan kecederaan yang dialami berdasarkan senario yang diterangkan berbeza kerana corak kecederaan Adib berbentuk lebar dan keras kalau digesel (dan) dihentak objek nipis lebih kepada calar dan koyak,” tambahnya.
Menurutnya, selain itu, semasa membuat pemeriksaan klinikal terhadap Muhammad Adib pada 30 November, kepatahan rusuk kiri pada bahagian belakangnya tidak dikesan sebaliknya ia diketahui selepas bedah siasat mayat pada 18 Disember 2018 lalu.
“Apabila post moterm atau bedah siasat dijalankan kami menemui kali pertama kecederaan yang sebelum ini tidak dimaklumkan kepada kami iaitu patah tulang rusuk sebelah kiri satu hingga tujuh belah belakang dan coraknya sangat unik. Yang sangat lurus dan menegak,” ujarnya.
Mohd. Shah turut ditunjukkan baju uniform bomba bercorak celoreng.
Namun katanya, kecederaan pada siku dan pergelangan tangan kanan mangsa dengan kesan calar dan dadanya yang kelihatan terkena impak kuat tidak berpadanan dengan baju yang ditunjukkan tanpa sebarang kesan darah atau koyakan.
Justeru beliau berpendirian Muhammad Adib pada 27 November 2018 tidak memakai baju uniform bomba.
“Pada pandangan saya, tidak dapat dipadankan baju ini dengan kecederaan kemungkinan besar bukan baju ini yang dipakai.
“Setidaknya siku kiri kena ada carikan atau koyak sebab kecederaan serius mengambil kira kecederaan. Sekiranya uniform ini dipakai boleh terdapatnya kesan darah pada lengan baju dan siku baju,”katanya lagi.-MalaysiaGazette