Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2019.

SEREMBAN – Tindakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mengungkit skandal RM10 juta melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan lebih sedekad lalu adalah tidak berasas.

Mohamad menegaskan, beliau sudah dibuktikan tidak bersalah oleh pihak Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes tersebut.

“Terpulang dia (Zulkefly) nak buat sebab SPRM dah buat siasatan, jadi terpulang kepada pihak berkuasa.

“Saya didapati tidak bersalah,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN, hari ini.

Semalam, Zulkefly mempersoalkan kenapa SPRM masih belum mengambil tindakan terhadap Mohamad mengenai dakwaan kes pemindahan duit membabitkan pengurup wang.

“Siapa kata dia orang bersih?

“Saya buat laporan polis, dan saya juga buat laporan SPRM kerana Mohamad Hasan masa itu bawa duit guna money changer, pengurup wang.

“Tapi sampai sekarang tak kena tahan. Nanti saya akan jumpa SPRM (tanya) kenapa tak tangkap dia?” soalnya.

Menjawab mengenai itu, Mohamad turut menafikan berlakunya salah gunakan kuasa dalam proses pembelian apartmen di London.

“Cumanya cara menghantar tersebut melalui money changer.

“Tiada salah guna kuasa ataupun ada saya buat sesuatu yang tak baik untuk saya beli apartmen di London,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 2008 Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan dengan memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Walau bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara di bawah pemerintahan BN tidak mengambil tindakan terhadap Mohamad.

Dalam pada itu, Mohamad menjangkakan banyak lagi provokasi jahat yang akan dilemparkan kepada beliau pada minggu terakhir siri kempen PRK DUN Rantau.

“Saya harap orang ramai dapat bezakan mana betul, mana yang fitnah. Mereka dah nak bunuh karektor saya.

“Kalau saya ada salah semasa menjadi Menteri Besar, sila buat laporan polis, saya harap cara kempen untuk pecah-belah penduduk terutama isu perkauman perlu dijauhkan dan dielakkan kerana ia mendatang kesan jangka panjang,” katanya lagi.

Bekas Menteri Besar itu kini berentap dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dan dua lagi calon bebas, R. Malar dan Mohd Nor Yassin bagi merebut kerusi DUN Rantau, 13 April depan. -MalaysiaGazette