Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bertembung dengan calon PH, Dr. S. Streram (kanan) ketika mereka meninjau pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Balai Polis Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 09 APRIL 2019.

SENDAYAN – Dakwaan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram bahawa Mohamad Hasan mempunyai sebuah rumah Minangkabau bernilai RM6 juta enggan dilayan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Menurut Mohamad, beliau enggan melayan tuduhan ‘budak bodoh’ yang melemparkan serangan terhadap dirinya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Sila semak samada saya punya atau tidak (banglo di Seremban 2). Semua orang kata itu rumah saya, kalau rumah saya, maka itu rumah saya kalau bukan itu bukan rumah saya.

“Saya malas (nak layan isu ini), cerita budak bodoh, yang main pondok-pondok,” katanya ketika ditemui semasa meninjau proses undian awal di Dewan Angkasa Raya, Pangkalan Tentera Udara (TUDM) Sendayan hari ini.

Semalam, Streram yang juga timbalan pengerusi PKR cabang Rembau meminta penjelasan Mohamad berhubung dakwaan calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, Negeri Sembilan yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

“Saya bukan tuduh ‘rumah Minangkabau’ itu milik Tok Mat. Tapi, saya telah melihat video klip dan gambar rumah itu diviralkan dalam WhatsApp yang mendakwa rumah Tok Mad (Mohamad Hasan).

“Jadi, saya rasa adalah lebih baik sekiranya Tok Mat tampil memberi penjelasan dan membetulkan kedaan ekoran tercetus tuduhan mengenai rumah itu,” katanya semalam.

Ditanya samada beliau ingin mencabar Streram agar mengemukakan bukti dakwaan tersebut, Mohamad berkata, beliau tidak kuasa untuk melayan karenah pencabarnya itu.

“Buat apa saya nak cabar mereka kemukakan bukti, biar mereka buang peluru mereka. Itu cara mereka nak memburuk nama saya dan mengaitkan saya.

“Daripada dulu lagi mereka buat begitu, takkan saya nak jadi budak-budak. Mereka main pasir, saya main abu. Buat apa, saya buat kerja saya dan tidak akan terganggu dan ini cara mereka dan saya redha dan buat konsentrasi saya terganggu,” katanya. -MalaysiaGazette