KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata hubungannya dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dingin berikutan beberapa permintaan yang dikemukakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Syed Saddiq mendakwa, antara permintaan itu ialah membatalkan perlawanan tinju pada saat akhir antara Manny Pacquiao dan juara bertahan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse di Kuala Lumpur Julai lalu.
Walaupun tidak selesa mengenai perkara itu bagaimanapun perlu sampaikan keputusan yang tidak dapat tunaikan itu yang mana pembatalannya boleh mencetuskan krisis diplomatik antara Malaysia dan Filipina.
“Ada tuntutan dan perintah khusus untuknya (perlawanan) untuk dibatalkan, tanya penganjur, tanya Pacquiao sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas sempena setahun Pakatan Harapan (PH) di Bangunan kementeriannya di Putrajaya, hari ini seperti dipetik portal Malaysiakini.
Selain konflik politik, pembatalan perlawanan tinju itu juga akan menyebabkan kerugian berpuluh juta dolar daripada penyiaran siaran lansung di seluruh dunia.
Tambah Syed Saddiq hubungannya dengan Tunku Ismail akrab sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu namun disebabkan terdapat permintaan bersifat politik yang tidak dapat ditunaikan menyebabkan hubungan mereka dingin.
“Dia adalah seseorang yang rapat dengan saya terutamanya sebelum PRU lalu, tetapi sebelum PRU lalu ada permintaan khusus yang dia minta yang saya tak dapat penuhi.
“(Sebab itu) jika kamu lihat, hari pengumuman pencalonan saya di Muar, adalah hari dia mengeluarkan surat terbuka meminta rakyat Johor dan Malaysia tidak menukar kapal dan terus bersama Umno BN,” katanya. – MalaysiaGazette