Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Agak pelik bagi Tommy Thomas yang diuar-uarkan sebagai pakar perlembagaan sebelum menjadi Peguam Negara tidak tahu kandungan ucapan rakannya, Dr. Syed Husin Ali pada Forum Awam & Statut Rom pada Sabtu lalu bersifat menghasut.

Lagi pelik apabila Tommy yang dilantik memegang jawatan itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong boleh bersama dalam majlis yang dianggap sebagai jenayah terhadap Raja-Raja Melayu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan berpuluh-puluh laporan polis telah dibuat terhadap ucapan tersebut.

Katanya, forum yang diadakan di Universiti Malaya (UM) itu sepatutnya membincangkan secara ilmiah mengenai ratifikasi Statut Rom tetapi sebaliknya menjadi platform menghasut kebencian rakyat kepada Raja-Raja Melayu.

“Mereka juga menghina empat pakar perundangan yang mendedahkan bahaya Statut Rom kepada Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Ahmad Amzad, dalam forum itu, Dr. Syed Husin telah mengucapkan kata-kata menghasut betul-betul di hadapan Tommy dengan membangkitkan isu perbelanjaan Raja-Raja yang ditanggung rakyat.

Tuduhannya sangat berat seperti menyatakan keturunan raja diangkat oleh British dan semakin meluas menentang serta menceroboh Perlembagaan.

“Apabila Tommy membiarkan sahaja pengucapan berbaur penghinaan itu, secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Peguam Negara.

“Sekurang-kurangnya, beliau perlu menegur dan membetulkan kenyataan tersebut atas kapasiti Peguam Negara.

“Sama seperti beberapa hari lalu, Perdana Menteri menyatakan Perlembagaan Negeri Johor dan Terenggganu terbatal apabila Malaysia ditubuhkan, saya sudah bangkitkan di mana peranan Peguam Negara untuk menasihati kerajaan sehingga timbul dakwaan baharu yang sangat menyeleweng ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan prestasi yang ada, Tommy dilihat menjadi liabiliti kepada kerajaan dan mencetuskan rasa kurang senang rakyat dalam isu membabitkan negeri, Raja-raja Melayu dan Islam.

“Melainkan Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia untuk kalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Sekali lagi saya tegaskan, Tommy patut dipecat kerana mengekalkan beliau sebagai Peguam Negara hanya membenarkan lebih banyak kerosakan berlaku terhadap negara,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast