SPR

KUALA LUMPUR- Pemilihan Datuk Lajim Ukin sebagai pemerhati pilihan raya semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen P.186 Sandakan dibuat atas kapasiti beliau sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Pembaikan dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dan bukan mewakili parti politik yang dianggotai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhari Azizan Harun berkata, seseorang pemerhati perlu menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh badan tersebut antaranya, agensi kerajaan berkelayakan, badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi berkelayakan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, pemerhati juga mestilah warganegara Malaysia yang berkemahiran dan dapat menyumbang kepada penambahbaikan proses pilihan raya di samping melaksanakan aktiviti yang dekat dengan masyarakat.

Pemerhati juga perlu bersikap berkecuali dan mematuhi Kod Etika dan Akujanji Pemerhati Pilihan Raya.

“Pelantikan Datuk Lajim Ukin adalah mewakili kategori agensi kerajaan yang berkelayakan iaitu ERC dan tidak mewakili parti politik yang dianggotai.

“SPR juga turut menyediakan akujanji untuk ditandatangani oleh pemerhati yang dilantik dan merupakan ikrar yang perlu dipatuhi semasa bertugas.

Jika terdapat pemerhati yang tidak mematuhi dan melanggar akujanji berkenaan, mereka boleh digugurkan dan boleh disenarai hitamkan dari menjadi pemerhati pada mana-mana pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Azhar, SPR peka terhadap isu yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak itu termasuk Bersih 2.0 dan bakal mengkaji semula kriteria pemilihan bagi Pemerhati Pilihan Raya selepas ini.

BERSIH 2.0 pada 28 April 2019 mengeluarkan kenyataan berhubung penyertaan Lajim yang bertugas sebagai pemerhati pilihan raya semasa Hari Penamaan Calon bagi PRK Sandakan.

BERSIH 2.0 mempersoalkan tindakan SPR yang melantik ahli politik yang aktif iaitu Lajim sebagai pemerhati dan diragui boleh bersikap saksama. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast