Zaharuddin Muhammad
Zaharuddin Muhammad

KUALA LUMPUR – Nama Dr. Husam II menjadi sebutan dalam kepimpinan Pas hari ini, apabila bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharuddin Muhammad cuba mengaitkannya sebagai ‘kartel dedak’ UMNO.

Zaharuddin yang merupakan menantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun, tidak menjelaskan lebih lanjut siapa Dr. Husam II, termasuk lima nama samaran yang dikatakan turut terkait.

“Yang inilah (Dr Husam II) perosaknya. Dialah satu-satunya kartel dedak yang dapat dedak daripada lima bos,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau dipercayai membuat pendedahan itu setelah dituduh sebagai dalang yang merakam dan menyebarkan rakaman audio individu yang membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Menerusi beberapa siri status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Zaharuddin berkata, coretan itu adalah untuk menghindarkan ‘fitnah yang sedang menjalar, bukan fitnah yang sedang tidur’.

Dalam pendedahan terbaharunya itu, Zaharuddin menyenaraikan lima nama samaran kartel dedak iaitu, Dr Hussam II (kepala no 1), Mr NT, Mr KT, Mr KH dan kelima, dia hanya mencatatkan: “semua dah tahu”.

Katanya, yang nombor 5 itu adalah sahabat yang bagus, cuma terlalu mengikut kawan-kawan dan menjadi barisan depan membela kawan.

“(Sedangkan) yang dia tahu tak banyak pun,” katanya.

Menurut Zaharuddin, dari lima penyamar itu, beliau hanya akan memberikan fokus kepada seorang sahaja, iaitu orang yang dilabelkan sebagai “Dr. Husam II”.

“Dalam ramai-ramai, yang nombor satu ini saja saya (nak) fokus). Seba yang dia buat, Mr2 sampai Mr5 tidak tahu. Dia maha licik, mengalahkan Hussam,” katanya berkias.

Menurutnya, beliau tidak mahu menyebut nama itu secara terus terang, tetapi sekadar menyatakan mereka itu adalah kartel dedak yang perlu dihindari.

Katanya, tujuan beliau mendedahkan perkara itu, walaupun dalam bentuk kiasan adalah untuk menyelamatkan integriti Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

“Misi saya amat mudah, (saya) dedah kartel dedak untuk selamatkan pimpinan dan parti dari terpalit dengan imej bohong dan dedak,” tulis beliau.

Pada masa sama, beliau menunggu namanya dipanggil oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin atas ‘kesalahan’ mendedahkan perkara itu sebelum ini dan ketika ini.

Namun, katanya, parti belum berbuat demikian, menyebabkan beliau yang beriya-iya bertanyakan bila namanya akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubungan pendedahan nama kartel dedak itu.

“Alhamdulillah (akan dipanggil), tapi rasminya belum terima,” katanya.

Di akhir tulisannya, Zaharuddin memberitahu, kes yang beliau bangkitkan itu tidak ada kaitan langsung dengan fitnah Pakatan Harapan (PH) mengenai RM90 juta.

“Insha-Allah, kes ini dalam skala yang tidak salah undang-undang, tetapi salah dari segi moral, agama dan integriti parti,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast