Presiden Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohamad Zaid Mohamad Shah bergambar bersama anak-anak jagaanya yang merupakan penghuni tetap di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Melalui pengalaman hidup yang perit akibat didera hampir 13 tahun oleh ayah tiri, maka terbit di sanubari Mohamad Zaid Mohamad Shah untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti ibu tunggal yang diceraikan, mangsa dera dan anak yatim.

Sikap suka membantu itu turut diwarisi dari ibunya yang dikenali sebagai Umi apabila sering menghulurkan bantuan kepada orang susah di sekitar ibu kota.

Meskipun tinggal di Flat Bandar Sentul dengan enam orang adik beradik yang lain kesusahan hidup tidak menghalang ibunya sekitar 1989 yang sudah diceraikan untuk  membawa golongan yang memerlukan tinggal bersama-sama mereka sehingga tertubuhnya Rumah Perlindungan Nur Hati.

“Secara kebetulan, mak saya ketika itu tidak boleh tengok orang susah, ada orang susah dia mesti bawa balik rumah.

MGF31052019_RUMAH NUR HATI06
Temubual eksklusif bersama Presiden Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohamad Zaid Mohamad Shah di Rumah Perlindungan Nur Hati, Ampang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2019.

“Orang tua pun dia jaga. Padahal kami pun masa itu susah. Masa umur saya dua bulan. Mak pernah kahwin, jadi mangsa penderaan suami, saya jadi mangsa penderaan. Saya hari-hari rasa rasa sepak, terajang bapa tiri dekat 13 tahun ia berlarutan.

“Dari situ selepas bercerai dengan ayah tiri, datang rasa nak bantu orang susah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pusat yang sudah beroperasi lebih 30 tahun meskipun baru sahaja didaftarkan secara rasmi pada 2006 kekal sebagai tempat memberi teduhan dan bantuan bukan sahaja kepada warga emas yang ditinggalkan anak malah dalam masa yang sama menjadi transit untuk remaja terlanjur sehingga mengandung anak tidak sah taraf.

Apa yang dilakukan Zaid bersama adalah memberi sokongan kepada remaja yang terlanjur meneruskan kandungan dan melahirkan anak yang tidak berdosa.

Beliau turut mendedahkan majoriti remaja perempuan di situ mengandung tanpa pengetahuan keluarga dan ada yang tidak bersedia untuk berterus terang.

Namun beliau memberi masa dan membantu golongan seperti itu untuk menjelaskan situasi sebenar kepada ibu dan bapa mereka selepas beberapa waktu melahirkan anak.

“Tapi rumah ini mampu menerima enam tempat untuk transit remaja perempuan yang mengandung anak tidak sah taraf. kebanyakan mereka ini keluarga tidak tahu

“Selepas bersalin kita akan teman remaja itu untuk beritahu keluarga cari jalan macam mana mahu berterus terang dengan keluarga,” jelasnya.

Untuk rekod sejak penubuhan sehingga hari ini Rumah Perlindungan Nur Hati telah menyelamatkan lebih 300 remaja yang mengandung anak tidak sah taraf.

Selain itu rumah perlindungan itu menurut Zaid turut menjaga lebih kurang 38 kanak-kanak yatim piatu.

Malah kanak-kanak ini diberi didaftarkan di sekolah tahfiz agar dapat didikan agama yang cukup dan kelak, seterusnya akan menerima diri mereka seadanya.

“Semua mereka ini saya hantar tahfiz, sebab saya tahu cabaran untuk anak sah taraf apabila mereka besar adalah untuk menerima diri mereka sendiri. Jadi saya mahu dengan didikan agama yang cukup mereka akan dapat menerima diri mereka, berhadapan dengan dunia yang penuh dengan cabaran,” tambah beliau.

Meskipun tidak menerima dana daripada kerajaan, Zaid tetap gigih meneruskan niat murninya untuk memberi perlindungan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau dan keluarganya mencari dana untuk operasi rumah itu melalui perniagaan kecil-kecilan yang dilakukan.

Meskipun tidak hidup serba mewah rumah perlindungan itu dijadikan anak bongsu itu sebagai kediaman yang selesa untuk semua yang berada di bawah satu bumbung tidak mengira latar belakang sekalipun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast