KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menyatakan tiada keperluan untuk penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik diekstradisi ke India.
Menurut Timbalan Presdien Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, DAP tidak perlu terus menekan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tujuan itu.
“Tindakan seorang Ahli Jawatankuasa DAP, Lim Kit Siang yang mahu Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela tidak selari dengan jaminan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri sebelum ini.
“Apa motif sebenar Lim Kit Siang?,” soal Tuan Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau telah memanjangkan perkara ini kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
KDN dalam jawapan kepada Tuan Ibrahim berkata, Dr Zakir Naik memasuki negara ini melalui saluran sah yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.
“Kerajaan juga tidak memberikan apa-apa layanan istimewa kepada beliau.
“Selain itu, pihak kerajaan juga berhak untuk tidak memenuhi permintaan ekstradisi Kerajaan India kerana ia bersifat politik dan menepati Artikel 6 Perenggan (1) (a) Triti Ekstradisi,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Kit Siang yang mahu Zakir meninggalkan Malaysia secara sukarela kerana kehadirannya di negara ini boleh mencetuskan ketidakstabilan selain mencetuskan ketidakharmonian dalam `keluarga’ besar Malaysia.
Kit Siang berkata demikian dalam blognya menyokong saranan yang ditulis oleh peguam Anas Zubedy yang mahukan pendakwah kontroversi itu keluar dari negara ini secara sukarela. -MalaysiaGazette