Charles Anthony Santiago

KUALA LUMPUR – Sejak semalam, beberapa pimpinan kanan DAP termasuk Lim Kit Siang dan Kula Segaran tampil mendesak kerajaan bertindak terhadap pendakwah kontroversi, Zakir Naik.

Terbaharu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Kabinet berbincang Rabu ini tentang pendakwah itu yang dikatakan kini mula campur tangan dalam isu politik negara.

Kata Santiago dalam satu kenyataan sebentar tadi, ucapan-ucapan Zakir ketika di Kelantan baru-baru ini dianggap sungguh berbahaya sehingga mampu meletuskan isu perkauman serius pada masa akan datang.

“Saya dengar sendiri ucapan Zakir di Kelantan baru-baru ini. Zakir Naik menggunakan platform keagamaan untuk mencetuskan rasa tidak gembira antara kaum di negara ini sebenarnya.

“Dia cuba membuat perbandingan India Malaysia dan India Muslim di India, ucapan dia mengancam keharmonian.

“Apa yang lebih teruk lagi apabila dia mendakwa masyarakat Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, apakah ini? Dakwaan-dakwaan ini sungguh tidak benar, merbahaya dan sengaja menggangu gugat keharmonian.

“Nampak juga Zakir seolah-olah bercakap dengan memihak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang enggan mengektradisi pendakwah ini walaupun telah dipinta oleh India sendiri.

“Saya sendiri telah menerima begitu banyak panggilan telefon rata-rata masyarakat India di negara yang begitu tertekan, marah dan kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam isu Zakir ini. Masing-masing rasa terhina dengan ucapan-ucapan lelaki ini,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

MGF_DR_ZAKIR_06
Dr. Zakir Naik

Zakir dalam ceramahnya di Kelantan baru-baru ini didakwa telah membandingkan masyarakat Hindu di Malaysia yang dikatakan mendapat lebih banyak keistimewaan berbanding masyarakat Islam di India.

Penceramah itu juga mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Narendra Modi berbanding kepada Dr Mahathir.

Santiago menambah, jika sebelum ini percakapan yang mengganggu gugat keharmonian akan berdepan dengan tindakan oleh pihak berkuasa namun Zakir pula seolah-olah kebal.

“Dia datang naik kereta mewah, dia diperlakukan seolah-olah ‘Tuhan’. Kerajaan Pas Kelantan pula bukan sahaja berikan perlindungan polis malah juga peluang untuk berceramah serta membiarkannya bercakap apa sahaja.

“Mengapa Tun Mahathir begitu bersungguh-sungguh melindungi seorang lelaki yang didakwa terlibat dengan aktiviti keganasan? Kata Tun sebelum ini, pendakwah itu tidak akan bercakap tentang isu tempatan apakah maksudnya menyoal kesetiaan rakyat di negara ini?

“Adalah sangat penting untuk berbincang tentang perkara ini dalam mesyuarat Kabinet, tolong utamakan rakyat dan keselamatan negara,” tegasnya.

Sebelum ini, Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia telah mempersoalkan sama ada Zakir cuba mencipta keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia agar dia dapat menikmati keistimewaan melalui sokongan masyarakat Islam untuk terus tinggal di negara ini.

“Adakah Zakir juga sedang memanfaatkan polemik semasa berkaitan bangsa dan agama di negara ini demi kelangsungan hidup dan faedahnya dengan menggunakan wang pembayar cukai.

“Wajarkah Malaysia berpecah hanya kerana seorang lelaki bernama Zakir Naik?” katanya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast