KUALA LUMPUR – Tidak pernah terlintas pada fikiran MIC hubungan yang dibina parti itu dengan Pas terputus kerana prinsip saling hormat menghormati agama serta kepercayaan antara kaum itu tergugat.
Malah janji Pas kepada MIC pada awal pertemuan adalah bukan sahaja kebebasan agama serta kepercayaan akan dihormati, malah tidak akan berkompromi sehingga mendatangkan rasa tidak senang antara satu sama lain dalam isu tersebut.
Sebaliknya, pada masa ini lain pula yang berlaku.
Kepimpinan Pas seolah-olah ‘menghalalkan’ tindakan seorang pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik menyatakan apa sahaja sesuka hati tanpa mengambil kira sensitiviti kaum yang melibatkan masyarakat India dan Cina.
Itu luahan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kepada MalaysiaGazette ketika membicarakan tentang kerjasama antara partinya dengan Pas.
“Hubungan MIC-Pas itu terbina atas dasar saling hormat menghormati agama, kepercayaan, adat serta tradisi masing-masing tanpa sebarang kompromi dalam perkara tersebut. Itu adalah asasnya.
“Kita pada masa ini tidak bercakap tentang seseorang yang berdakwah tentang agama Islam. Kita tidak pernah dan tidak akan sesekali ada masalah jika Zakir Naik mahu berdakwah tentang Islam.
“Tetapi kita tidak akan sesekali bertoleransi apabila beliau bercakap tentang agama dan kepercayaan kaum dan bangsa lain. Agama itu adalah sesuatu yang suci dan mengikut kepercayaan masing-masing.
“Mengapa sehingga boleh hina agama serta kepercayaan kami yang lain dan kamu boleh mempertahankan tindakan pendakwah ini? Apa rasionalnya dalam perkara ini?
“Di negara ini sendiri sudah termaktub dalam perlembagaan tentang kebebasan beragama yang dianuti mengikut adat, tradisi serta kepercayaan, jadi mengapa orang luar seperti Zakir Naik mendapat lampu hijau ini untuk bercakap tentang kaum dan agama lain?
“Sepatutnya Pas sendiri telah bertindak menasihati Zakir Naik supaya tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain. Malah Presiden Pas sendiri tidak sepatutnya seperti tidak endah dengan masyarakat serta komuniti lain ketika bercakap tentang Zakir Naik.
“Sepatutnya beliau yang sudah sedia maklum dengan rakyat berbilang kaum di negara ini dan seharusnya saling hormat menghormati, mengapa bercakap seperti tidak kisah tentang sentimen dan perasaan mereka yang lain khasnya Cina dan India di negara ini?
“Tindakan Pas serta individu serta kumpulan lain yang menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh Zakir Naik memberikan kenyataan atau ucapan berbaur kebencian termasuk mencampuri urusan agama serta kaum lain tanpa sekulamit rasa hormat adalah sesuatu yang kami tidak akan terima atau toleransi,” katanya.
Jelas Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara menegaskan kehadiran pendakwah agama sentiasa diterima mereka.
Namun katanya, menggunakan agama dan mencampuri serta menghina agama serta kepercayaan lain adalah sesuatu yang tidak akan di terima sama sekali walaupun idealogi politik di landasan sama. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/17/perpaduan-antara-kaum-tidak-seperti-dulu/
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/18/dr-zakir-naik-dizalimi-golongan-tidak-mampu-berhujah-hadi-awang/
Lawan dgn hujah, bukan tuduhan fitnah