KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk dan mengecam pembunuhan Dr. Fadi Albatsh seorang imam warga Palestin dan pensyarah universiti swasta di Gombak pagi ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyampaikan takziah kepada keluarga almarhum dan berharap mereka bersabar menghadapi ujian berat ini.
Katanya, tembakan lebih 10 das ke arah Dr. Fadhi yang berjalan menuju ke surau di kawasan kediamannya untuk solat Subuh, sebagaimana dilapor media, jelas ianya adalah pembunuhan yang telah dirancang dengan rapi.
“Berita mengejut ini adalah sangat menyedihkan kerana Malaysia sepatutnya menjadi tempat selamat untuk warga Palestin atau kepada mana-mana pelarian akibat konflik di negara mereka.
“Insiden membunuh secara terbuka di kawasan awam oleh pembunuh upahan kini nampaknya menjadi gejala yang tidak asing di Malaysia,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi tadi, pensyarah yang sudah berkeluarga itu ditembak mati di luar kondominium di Jalan Gombak, Setapak.
Mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badannya.
Menurut Mohd Azmi, kejadian pembunuhan seperti itu menandakan jenayah bersindiket untuk mensasarkan seseorang mangsa di Malaysia semakin bertapak di negara ini yang selama ini dianggap negara aman dan boleh menjadi tempat perlindungan untuk warga Palestin serta warga lain.
“Pembunuhan warga Korea yang lalu juga menunjukkan adanya percubaan menjadikan Malaysia tempat melancarkan operasi jenayah bersindiket.
“Pembunuh upahan yang beroperasi di Malaysia bukan suatu yang asing lagi. Kami mengesa polis menjalankan siasatan terperinci mengesan penjenayah dan pihak yang mendalangi pembunuhan itu.
“Pembunuhan warga Palestin kini telah berlaku di beberapa negara yang melibatkan operasi inteligen Mossad Israel,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Mapim menggesa siasatan itu dilakukan segera untuk membongkar motif pembunuhan tersebut kerana Malaysia tidak boleh dibiar menjadi tapak sindiket pembunuhan secara upahan. – MalaysiaGazette
Pensyarah warga Palestin mati ditembak
[…] sumber […]