Unit Pemusnah Bom PDRM mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP). Foto Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini digemparkan apabila menerima satu bungkusan tertera tulisan ‘bom’.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menerima panggilan kecemasan daripada pengadu mendakwa mesin pengimbas mereka menerima satu bungkusan tertera ancaman berisi bom sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, sewaktu diimbas, bungkusan itu dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar.

“Semakan petugas juga mendapati terdapat tulis bertulis ‘AWAS JANGAN CAMPAK NANTI MELETUP INI BOOM’ pada bungkusan itu dan ia dialamatkan kepada seseorang di Limbang, Sarawak,

“Susulan itu, kami terpaksa menggunakan khidmat pengesanan anjing pengesan K9 dan didapati negatif adanya bahan letupan.

“Namun, disebabkan terdapat ayat ancaman tertulis pada bungkusan tersebut, Unit Pemusnah Bom PDRM mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungkusan itu mengandungi komputer riba dan kabel pengecas. Foto Ihsan PDRM.

Tambah beliau, tembakan menggunakan ‘pigstick’ yang dipasang pada alat robotik juga mendapati tiada letupan berlaku.

“Selepas prosedur tembakan dilakukan mendapati, bungkusan itu mengandungi komputer riba dan kabel pengecas.

“Pihak penghantar juga mengesahkan barangan berkenan adalah komputer riba. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette