Abdallah mengikuti Ujian Kelayakan secara dalam talian ketika keadaan di kampung halamannya musnah dibom. - Foto ihsan USIM

GAZA CITY – Serangan Israel yang masih berterusan dan berdepan dengan dibom dari udara pada bila-bila masa bukan penghalang kepada pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) warga Palestin menjalani ujian kelayakan.

Dalam perkongsian foto dan video oleh USIM, Abdallah Abuajwa, 40 kelihatan mengambil ujian berlatarbelakangkan bangunan rumah dan kemudahan awam yang musnah sama sekali.

Bukan mudah untuk beliau mengambil peperiksaan tersebut secara dalam talian langsung dari Gaza kerana kemudahan ICT musnah akibat serangan tentera zionis.

Pun begitu, pelajar jurusan Pengurusan Sumber Manusia dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi ujian kelayakan.

Tambahnya, bagi mendapatkan sumber elektrik untuk mengecas komputer riba dan telefon bimbitnya, dia menggunakan sel solar agar peralatan elektroniknya boleh terus berfungsi.

Abdallah juga terpisah dengan isteri dan tiga anak mereka yang kini berada di selatan Gaza manakala beliau bersama seorang lagi anaknya berada di utara Gaza

“Saya akan meneruskan pengajian sehingga selesai walau seteruk mana pun keadaannya.

“Keadaan yang amat sukar ini menjadikan saya seorang yang lebih kuat dan akan terus berdoa agar ALLAH memberikan ilmu yang bermanfaat untuk agama dan negara Palestin,” kata Abdallah.

Abdallah mengikuti Ujian Kelayakan secara dalam talian ketika keadaan di kampung halamannya musnah dibom. – Foto ihsan USIM

Pada akhir sesi ujian kelayakannya, Abdallah mengucapkan terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaannya diketuai Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus asa memberikan sokongan moral dan tunjuk ajar dalam pengajiannya.

Abdallah kini berada di semester ke-7 dan dengan kejayaannya lulus ujian kelayakan dengan pembetulan, dia kini boleh meneruskan pengajian dan menamatkan PhDnya

Sementara itu Ali Nasser berkata, Abdallah berjaya lulus dalam ujian tersebut walaupun dalam keadaan rumah dan kampung halamannya musnah dibom.

“Kediaman dan kenderaannya di Utara Gaza musnah manakala ramai saudara-maranya terkorban sejak serangan rejim Israel pada Oktober tahun lalu.

“Abdallah sedang menjalankan kajian berkaitan impak kepimpinan digital terhadap pengurusan perubahan di institusi pengajian tinggi di Palestin,” kata Ali Nasser melahirkan rasa kagum dengan kecekalan pelajar tersebut.

Jelasnya, Abdallah menghadapi pelbagai dugaan seperti masalah kewangan, masalah kesihatan dialami anaknya yang menghidapi penyakit kronik iaitu Cerebral Atrophy dan keadaan menjadi lebih buruk dengan perang di Gaza.

“Walaupun ia mengganggu dan melambatkan pengajian Doktor Falsafahnya, Abdallah tetap ingin meneruskan pembelajarannya,” katanya.- MalaysiaGazette