BUKIT MERTAJAM – Polis sedang memburu tiga suspek yang disyaki meragut rantai leher seorang penjaja air kelapa di tepi jalan di Taman Impian Alma, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, insiden berkenaan tular di media sosial hari ini selepas satu video berdurasi seminit yang memaparkan kejadian lelaki tempatan berusia 40-an itu diragut dimuat naik di akaun pengguna @update1111 di aplikasi X.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku jam 11 pagi semalam dan mangsa ketika itu didatangi tiga lelaki dengan menunggang dua buah motosikal.
“Salah seorang suspek turun dari motosikal dan menghampiri mangsa serta berpura-pura mahu membeli air kelapa sebelum meragut rantai lehernya.
“Susulan itu, ketiga-tiga mereka melarikan diri dengan motosikal dan mangsa cuba mengejar mereka namun gagal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Helmi, semakan lanjut mendapati, suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Marsila Hamzah di talian 04-5382222 atau tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette















