Calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao beramah mesra bersama penduduk semasa sesi walkabout di Pasar Pagi Batang Kali, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili DAP, Pang Sock Tao mengakui berdepan situasi provokasi daripada pihak lawan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap fokus dengan kempen yang dibuat dan tidak menghiraukan provokasi itu.

“Saya rasa sebagai anak muda kita nak bawa politik baharu kepada rakyat KKB dan juga kepada rakyat Malaysia secara am.

“Maknanya nak membawa dasar-dasar pembaharuan kepada penduduk-penduduk setempat.

“Politik tidak seharusnya mengenai provokasi ataupun fitnah atau permusuhan, saya rasa sebagai wanita saya nak bawa politik yang bahari kepaMalaysia fokus kepada dasar pembangunan rakyat khususnya pembangunan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada sesi walkabout bertemui pengundi di Pasar Karat, di sini, hari ini.

Beliau diiringi Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Terdahulu, ketika berkempen di pasar pagi Batang Kali, Pang bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang turut melakukan walkabout di lokasi sama.

Mereka berdua sempat bergambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti bertemu dan merayu undi di pasar berkenaan.

Kehadiran mereka pada pukul 8.30 pagi secara serentak adalah untuk program ramah mesra dengan pengundi terdiri dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

Sementara itu, Pang berkata, semangatnya untuk terus berkempen pada PRK itu timbul kerana sokongan yang baik diterima daripada masyarakat.

Ujarnya, ia turut dibakar dengan semangat ditunjukkan oleh kedua orang tuanya, termasuk suami serta adik beradik yang lain.

“Sokongan daripada ahli-ahli keluarga memang sangat mesra dan semalam kakak kembar saya, kakak sulong saya, suami saya juga turun bersama-sama saya pada hari penamaan calon.

“Bagi saya sebagai seorang ahli politik wanita, anak muda, sokongan daripada ahli keluarga sangat penting bagi saya dan bersyukur dengan sokongan-sokongan yang mereka tunjukkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette