Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim.

SEPANG – Sebanyak 20 daripada 28 elemen kualiti perkhidmatan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang telah dilaksanakan di Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL T1 dan T2) Lapangan Terbang Antarabangsa KL sejak September 2018.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, bermula bulan depan, pihaknya akan melaksanakan enam elemen kualiti perkhidmatan yang tertumpu pada masa penggiliran di pusat-pusat pemeriksaan penumpang utama di KUL T1 dan T2.

Menurut beliau, ia termasuk elemen Pemeriksaan Keselamatan, Laluan Masuk, Keluar dan Pindahan Imigresen serta Laluan Masuk dan Keluar Kastam.

“Suruhanjaya menyasarkan untuk melaksanakan baki dua lagi elemen masa penggiliran menjelang suku keempat tahun ini yang merangkumi kaunter Daftar Masuk dan kawasan mengambil atau menghantar penumpang di bebendul jalan (kerbside).

“Untuk tujuan ini, MAVCOM akan memulakan pemantauan dan penilaian kualiti perkhidmatan tertinggi,” katanya pada sidang media memaklumkan kemajuan terkini pelaksanaan Rangka Kerja QoS di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata, perkembangan kemajuan itu mewakili penyempurnaan integrasi 28 elemen kualiti perkhidmatan yang terdiri daripada empat kategori kualiti perkhidmatan.

Menurut beliau, ia meliputi keselesaan dan kemudahan penumpang, masa penggiliran, aliran penumpang dan bagasi serta kelengkapan pengendali dan kemudahan kakitangan di KUL T1 dan T2

Jelasnya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan keselesaan pengguna dan menaik taraf tahap perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang syarikat penerbangan dan perkhidmatan pengendalian bagasi di lapangan terbang yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Malaysia

“Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang menggariskan komitmen Suruhanjaya untuk mempertingkatkan pengalaman penerbangan secara mampan bagi pengguna lapangan terbang.

“Kejayaan rangka kerja ini disokong oleh kerjasama yang teguh merentas seluruh komuniti penerbangan.

“Dengan memupuk perkongsian kerjasama dan mengekalkan ketelusan, kami berdedikasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di semua lapangan terbang, memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan meningkatkan kepuasan pengguna,” katanya.

Saripuddin menambah, MAVCOM merancang untuk melaksanakan sepenuhnya Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di semua lapangan terbang antarabangsa dan domestik di Malaysia.

Jelas beliau, pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang akan dilakukan secara berperingkat dengan matlamat untuk memastikan lapangan terbang di Malaysia memenuhi piawaian kualiti dan perkhidmatan yang tertinggi.

“Suruhanjaya telah memulakan pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di Kota Kinabalu (BKI) dan Langkawi (LGK) berkuat kuasa Julai tahun lalu manakala Kuching (KCH), Miri (MYY) dan Senai (JHB) kini dalam fasa pembangunan dan dijangka akan dilaksanakan menjelang suku ketiga tahun ini.

“Memandangkan ciri unik setiap lapangan terbang, elemen kualiti perkhidmatan disesuaikan secara khusus untuk memenuhi keperluan berbeza bagi setiap lokasi.

“Lapangan terbang yang dirancang untuk pembangunan pada suku keempat 2024 adalah Subang (SZB Pulau Pinang (PEN), Kota Bharu (KBR), Sibu (SBW) dan Bintulu (BTU).

“Bagi lapangan terbang yang selebihnya, Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang akan dilaksanakan secara progresif sehingga 2027.

Saripuddin memberitahu, MAVCOM juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan ketelusan dan penambahbaikan berterusan melalui pengenalan halamN prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di laman webnya, www.mavcom my.

“Langkah ini bertujuan untuk menyediakan pihak berkepentingan dengan metrik prestasi penting, termasuk on time performance (OTP), pembatalan penerbangan dan kualiti perkhidmatan lapangan terbang dengan memupuk budaya akauntabiliti dan peningkatan berterusan

“Halaman prestasi ini menandakan ketelusan yang dipertingkatkan dalam sektor penerbangan kita. Ini akan memberi kuasa kepada penumpang untuk membuat pilihan termaklum sambil memacu syarikat penerbangan dan lapangan terbang secara konsisten untuk meningkatkan piawai perkhidmatan mereka secara konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette