Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 Mohd Khair Ngadiron menyampaikan ucapan ketika Majlis Pra Pelancaran PBAKL yang ke- 41 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 200 judul buku dari Malaysia bakal berada di dalam pasaran China menerusi Beijing International Book Fair 2024 (BIBF 2024).

Pengerusi Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, Mohd Khair Ngadiron berkata, buku tersebut akan dipasarkan ke lebih 1,000 buah universiti di seluruh negara itu

“Ini adalah tanda aras baharu dalam dunia penerbitan kita.

“Kita mengharapkan BIBF 2024 nanti akan dapat menerobos lebih banyak jualan dan mengharapkan Timbalan Menteri Pendidikan untuk hadir mewakili Malaysia,” katanya pada majlis Pra Pelancaran PBAKL yang ke-41 dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri, di sini, hari ini.

Mohd Khair berkata, PBAKL juga menganjurkan Asian Right Fair (ARF 2024) kali kedua dengan menjemput tujuh jurucakap duta ARF yang terdiri dari Filipina, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau menambah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah memberikan pelepasan cukai kepada individu-individu yang ingin mengadakan aktiviti perbukuan dan pesta buku.

Acara tahunan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan secara dalam talian itu menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung.

“Untuk julung kalinya, kita akan membuat aplikasi mudah alih PBAKL 2024 yang memudahkan aktiviti pengunjung untuk mencari lokasi buku dan juga reruai,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 972 pempamer termasuk 14 dari luar negara antaranya dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran menyertai PBAKL.

“Untuk kali ketiga berturut-turut, kita akan ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan PBAKL 2024,” katanya. – MalaysiaGazette