Setiausaha Agong Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah ketika sidang media mengenai isu Filem 'Babi' arahan En. Wee Meng Chee atau Namawee di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seniman Malaysia (Seniman) menyarankan mana-mana selebriti yang dikaitkan dengan kontroversi membabitkan pelakon Aliff Aziz tampil membuat laporan polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setiausaha Agung Seniman, Mohd. Hafiz Mohd Nafiah berkata, laporan itu perlu dibuat agar ia tidak mencemarkan nama baik industri hiburan tempatan.

“Seniman menggesa agar pihak-pihak yang mana terpalit dalam isu ini untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia supaya pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan.

“Kami juga mengingatkan semua pihak untuk tidak polimikkan isu ini dan hentikan segera perbalahan, salah menyalah serta membuka aib mana-mana individu di media sosial bagi menjaga nama baik industri di mata masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Hafiz turut menggesa kekasih gelap Aliff iaitu Sarah Yasmine menyelesaikan apa sahaja pertikaian yang disifatkan peribadi secara tertutup.

Ini bagi mengelak atau membuka aib mana-mana individu selain menghormati kes khalwat membabitkan Aliff dan Ruhainies sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Susulan itu, Seniman meminta Sarah menghentikan apa sahaja tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan selain merosakkan imej artis Malaysia.

“Isu yang hangat diperkatakan oleh Sarah juga dianggap isu peribadi. Kami menggesa perkara ini diselesaikan secara tertutup dan hentikan apa sahaja tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kami juga berharap isu rumah tangga Aliff dan Bella biarlah mereka selesaikan sendiri tanpa perlu ada orang yang tiada kaitan mencampuri urusan mereka,” ujarnya.

Pada 9 Mac lalu, nama Ruhainies hangat diperkatakan selepas dia dan Aliff dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Susulan kejadian tersebut, Bella mengambil keputusan memfailkan cerai terhadap Aliff secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac namun aktor itu enggan menceraikannya.

Aliff memberitahu mahkamah pada sebutan kedua kes itu pada 4 April lalu dia masih sayangkan Bella dan mahu mempertahankan rumah tangga mereka.

Isu di antara mereka semakin rumit apabila Sarah Yasmine muncul mendedahkan dia adalah kekasih Aliff sejak Januari lalu.

Tidak terhenti di situ, Sarah kemudiannya mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan wanita yang dinamakan sebagai NRF.

Pendedahan itu membuatkan ramai bengang selain isu itu turut mengaitkan beberapa selebriti lain seperti Emma Maembong, Chacha Maembong, Caprice, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. – MalaysiaGazette